LIKE

♥♥ #Gafimmers ♥♥

Khamis, 12 Disember 2013

Durian runtuh buat OMG!

Dear Blog


Malam yang indah dan bersejarah buat kumpulan OMG apabila dinobatkan sebagai juara edisi pertama Liga Lawak Superstar (LLS) yang disiarkan secara langsung di TV3 dari Studio Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, kelmarin.
Lebih daripada itu, kumpulan yang dianggotai Sathiya, Akim Ahmad dan Anas Ridzuan yang menewaskan kumpulan Apa Kasih Toq yang dianggotai Didie Alias, Kamal Adli dan Shafiq Kyle, membawa pulang hadiah lumayan berupa wang RM250,000.
Mereka mengumpul markah 70 peratus, manakala Apa Kasih Toq hanya memperoleh 58 peratus undian yang menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus juri awam di studio.

Apa Kasih Toq tetap berpuas hati kerana membawa pulang hadiah berjumlah RM75,000. Tempat ketiga dimenangi kumpulan Aku Diandra (Ilya, Qazeem Nor dan Sheera Iskandar) yang menerima wang RM50,000 dan keempat kumpulan Aku (Bell Ngasri, Hairi Safwan dan Idzham Ismail) yang membawa pulang wang RM25,000.
Foto
AKSI Sathiya dalam cabaran permainan yang diadakan.
Foto
SEMUA pemenang ceria bersama replika hadiah kemenangan masing-masing.
Cabaran yang dilalui kedua-dua kumpulan terbabit sebelum berjaya ke pentas akhir bukan mudah kerana terpaksa melalui saingan hebat daripada peserta lain beberapa minggu sebelumnya. Untuk pentas final, mereka terpaksa berdepan cabaran lima permainan iaitu Mengecut, Peniru Besar dan Penyanyi Berkepala Tiga, Awal & Akhir dan Karaoke Uncle.

Persaingan untuk merebut gelaran juara berjaya mewujudkan kelucuan tersendiri sehingga peminat yang memenuhi Studio Finas ketawa tanpa henti menyaksikan gelagat peserta. Mereka dinilai barisan juri profesional terdiri daripada Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramli.

Gandingan Afdlin Shauki dan Adibah Nor bertindak sebagai hos program LLS.
Mengulas kemenangan ini, Akim berkata, OMG mempunyai cara tersendiri dalam menangani cabaran diberikan.

“Kami biasanya akan rancang siapa yang nak bawa cerita (tekong), siapa yang akan jadi feeder (pengapit) dan siapa yang akan jadi killer (pembunuh). Akhirnya Anas diletakkan sebagai tekong pencerita, saya pengapit manakala Sathiya diletakkan sebagai pembunuh.

“Keserasian antara kami sudah dibentuk sejak minggu pertama kerana kami anggap gandingan ini bukan sebagai rakan, sebaliknya seperti keluarga sendiri. Ini yang membawa kejayaan buat kami,” katanya yang sentiasa mendengar nasihat Afdlin supaya sentiasa bersabar untuk berjaya.

Sathia pula mengakui bersyukur menjuarai program ini kerana bukan mudah untuk berdepan tugasan yang diberikan.

“Saya pernah melalui pengalaman ketika berada dalam Super Spontan. Jadi, ia sedikit sebanyak membantu dalam program ini. Saya berterima kasih kepada Anas dan Akim kerana banyak membantu hasilkan yang terbaik. Juga terima kasih pada Afdlin kerana banyak bantu saya dalam program ini,” katanya.

Anas pula memberitahu asalnya apa yang dibuat bukan untuk berlawak semata-mata. Bagaimanapun, perkara ini berlaku secara spontan dan berjaya menggeletek hati penonton.

“Saya cuma fikir satu perkara iaitu ini permainan jadi tak perlu nak rasa tertekan sangat. Bagi saya berlawak bukan mudah. Daripada 10 mungkin satu saja yang boleh buatkan orang ketawa. Keadaan sekeliling itu penting kerana secara tak langsung berjaya mewujudkan mood kepada semua untuk hasilkan komedi yang bagus,” katanya.


Bantu mangsa banjir

Mengenai wang kemenangan yang diraih, mereka sepakat menyumbangkan RM5,000 kepada tabung bantuan bencana NSTP Media Prima. Mereka juga akan menggunakannya untuk memantapkan karier masing-masing.

“Sebelum ini saya berniat untuk sumbangkan kepada anak yatim dan akan menunaikan janji itu. Saya juga akan menggunakannya untuk membiayai kos perkahwinan anak kedua yang berlangsung tahun depan,” kata Sathiya.

Sementara itu, Didie mengakui ketiadaan Fizz Fairuz yang menarik diri dan digantikan dengan Shafiq Kyle sedikit sebanyak menjadi punca kemerosotan mereka.

“Memang agak mengganggu juga kerana kami sudah serasi bersama. Kami tak boleh teruskan perjuangan berdua dan tiada pilihan sehingga terpaksa juga terima Shafiq untuk bawa cabaran selama tiga minggu termasuk di pentas ini. Namun kami tak salahkan Shafiq kerana dia tetap tunjukkan kesungguhan.

“Fizz tak tersingkir terus kerana dia tetap bersama kami. Habuannya tetap ada dan pembahagian akan dibincangkan bersama kami,” katanya.

Shafiq yang asalnya daripada kumpulan Spy Kampung berkata, perasaannya begitu tertekan apabila dipanggil menganggotai kumpulan Apa Kasih Toq. Namun dia gembira kerana hasil tunjuk ajar dan kerjasama berterusan daripada Didie, Kamal dan Fizz sendiri, mereka berjaya ke akhir dan muncul naib juara.

Afdlin selaku pencetus program ini gembira kerana LLS semakin mendapat sambutan dan merasakan akan mendapat sambutan hebat daripada kalangan artis sendiri.

“Benda ini sebenarnya terletak pada berani atau tidak. Saya jemput ramai pelakon untuk menjayakannya tapi ramai yang tak berani sahut cabaran. Bukan senang nak sahut cabaran berlawak spontan. Penonton akan kata kenapa mereka tak lawak tanpa tahu cabaran ini bukan mudah.

“Untuk berjaya setiap pasukan kena bekerjasama sepenuhnya bukan hanya jumpa sekali seminggu untuk berbincang di restoran mamak. Hadiah yang diberikan sangat besar, jadi mereka perlu melakukannya bersungguh-sungguh. Insya-Allah saya harap program ini disambung nanti,” katanya.

Hadiah untuk semua pemenang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar.

Dalam pada itu, LLS turut mengadakan sesi lelongan baju milik Johan, Iqram Dinzly, Anas Ridzuan dan Fizz Fairuz bagi menyumbang kepada mangsa banjir. Malah, semua peserta turut menyumbang sebahagian wang mereka yang disumbangkan kepada tabung bantuan bencana NSTP Media Prima.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10
Foto
CABARAN Karaoke Uncle yang dilalui Apa Kasih Toq berjaya menggamatkan suasana.
Foto
BAJU milik Fizz berjaya dijual dengan harga RM450 untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
ADLIN, Vanidah dan Ida Nerina menilai peserta LLS.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...